Pekerja Wajib Tahu.. Apa itu Perundingan kolektif & perjanjian Kolektif..

19 08 2011

1. Tujuan

Panduan ini adalah bertujuan untuk memberi penerangan mudah dan ringkas kepada para pekerja, majikan dan kesatuan-kesatuan sekerja mereka mengenai perundingan kolektif untuk menghasilkan Perjanjian Kolektif.

2. Terminologi

2.1 “Kesatuan Sekerja” bermaksud sesebuah badan yang didaftarkan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959.

2.2 “Tuntutan Pengiktirafan” bermaksud tuntutan yang dikemukakan oleh sesebuah kesatuan sekerja kepada pihak majikan supaya kesatuan sekerja berkenaan diberikan pengiktirafan untuk mewakili para pekerja tertentu untuk merundingkan terma dan syarat-syarat perkhidmatan bagi menghasilkan perjanjian kolektif.

2.3 “Perundingan Kolektif” bermaksud proses tawar menawar yang dijalankan oleh kesatuan sekerja dan majikan mengenai terma dan syarat perkhidmatan.

2.4 “Perjanjian Kolektif” bermaksud suatu perjanjian yang dihasilkan daripada perundingan kolektif yang mengandungi terma-terma dan syarat perkhidmatan yang dipersetujui oleh majikan dan kesatuan sekerja.

Perjanjian kolektif yang diberikan pengiktirafan oleh Mahkamah Perusahaan akan berkuatkuasa dan mengikat kedua belah bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.

2.5 “Mahkamah Perusahaan” yang ditubuhkan menurut Bahagian VII Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (APP 1967) mempunyai kuasa untuk membuat keputusan (award) terhadap sesuatu pertikaian perusahaan atau kes representasi pemulihan kerja.

3. Latar Belakang

Kontrak perkhidmatan yang dimeterai di antara majikan dan pekerja yang mengandungi terma dan syarat-syarat perkhidmatan adalah terdiri daripada pelbagai bentuk dokumen seperti surat

perlantikan, surat tawaran perkhidmatan, surat pengesahan jawatan dan sebagainya.

Walau bagaimanapun dari semasa ke semasa para pekerja mungkin akan bergabung bagi menubuhkan sebuah kesatuan sekerja untuk dijadikan platform bagi mengadakan perundingan

atau tawar-menawar dengan pihak majikan bagi mendapatkan terma dan syarat-syarat perkhidmatan yang lebih baik, adil dan saksama.

4. Perundingan Kolektif

4.1 Perundingan kolektif adalah satu proses tawar-menawar secara kolektif di antara majikan dan kesatuan sekerja untuk mencapai sebuah perjanjian kolektif.

4.2 Mana-mana pihak iaitu sama ada majikan atau kesatuan sekerja boleh tanpa membuat pelawaan kepada satu pihak yang lain secara bertulis untuk mengadakan perundingan kolektif.

(Sek. 13(1)(a)(b))  APP 1967

Pihak yang menerima pelawaan tersebut hendaklah memberikan jawapannya dalam tempoh 14 hari.

(Sek. 13(4)) APP 1967

5. Syarat-Syarat Untuk Mengadakan Perundingan Kolektif:-

5.1 Kesatuan sekerja bagi pekerja mestilah telah didaftarkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja. 5.2 Kesatuan sekerja berkenaan mestilah telah mendapat pengiktirafan daripada majikan.

5.3 Mana-mana pihak boleh membuat pelawaan untuk mengadakan perundingan kolektif.

5.4 Pelawaan hendaklah secara bertulis dan disertakan dengan cadangan perjanjian kolektif.

5.5 Perundingan kolektif mestilah dimulakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh setuju untuk menerima pelawaan bagi mengadakan perundingan kolektif.

(Sek. 13(2)) APP 1967

5.6 Mana-mana pihak boleh mengemukakan termaterma dan syarat-syarat yang dicadangkan untuk dibincangkan di dalam perundingan kolektif kecuali perkara-perkara yang disifatkan sebagai hak keistimewaan majikan seperti berikut :-

a. Kenaikan pangkat

b. Pertukaran tempat bekerja pekerja

c. Pengambilan pekerja-pekerja

d. Penamatan perkhidmatan pekerja atas sebab lebihan pekerja atau penyusunan semula organisasi

e. Pemecatan dan pemulihan semula pekerja bekerja oleh majikan

f. Penetapan dan peruntukan tugas-tugas oleh majikan kepada pekerja

(Sek. 13(3)) APP 1967

5.7 Walau bagaimanapun, APP 1967 membenarkan kedua belah pihak untuk membincangkan secara umum perkara-perkara yang menyentuh hak keistimewaan majikan seperti di atas.

(Sek. 13(8)) APP 1967

5.8 Sekiranya mana-mana pihak enggan menerima pelawaan untuk mengadakan perundingan kolektif atau gagal memulakan perundingan kolektif dalam tempoh 30 hari dari tarikh persetujuan terhadap pelawaan berkenaan atau jika perundingan kolektif mengalami kebuntuan, pihak yang terkilan bolehlah mengemukakan aduan kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan Malaysia (KPPPM) untuk mendapatkan bantuan penyelesaian.

6. Panduan Perundingan Kolektif Yang Berkesan

6.1 Mengemukakan cadangan mengenai terma-terma dan syarat-syarat perjanjian kolektif yang jelas,lengkap dan munasabah;

6.2 Mengamalkan prinsip ‘menang-menang’;

6.3 Membantu mencari penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan dan bukan memberi masalah;

6.4 Bersikap profesional dan realistik;

6.5 Bersikap positif dan sentiasa bertolak-ansur;

6.6 Sentiasa fokus terhadap objektif perundingan;

6.7 Mengelakkan daripada membuat ancaman terhadap pihak yang lain;

6.8 Memahami situasi pihak yang lain;

6.9 Menjadi pendengar yang baik dan penyabar;

6.10 Mendapatkan penjelasan dengan meminta pengulangan semula perkataan atau kenyataan jika tidak jelas;

6.11 Mengemukakan cadangan dengan berbudi bahasa dan bersopan-santun;

6.12 Bijak memberi cadangan alternatif;

6.13 Berfikiran positif, mempunyai perspektif yang betul dan fokus terhadap isu perundingan; dan

6.14 Memberikan justifikasi bagi setiap cadangan yang ditolak.

7. Perjanjian Kolektif

7.1 Perjanjian kolektif merupakan sebuah perjanjian bertulis yang dicapai di antara majikan dan kesatuan sekerja yang mengandungi terma dan syarat-syarat pekerjaan yang telah dipersetujui.

7.2 APP 1967 mensyaratkan terma-terma khusus yang mesti diperuntukkan di dalam sesebuah perjanjian kolektif iaitu:

7.2.1 Menetapkan tempoh kuatkuasa perjanjian kolektif yang hendaklah tidak kurang daripada tempoh tiga (3) tahun.

7.2.2 Memperuntukkan prosedur-prosedur untuk pengubahsuaian dan penamatan perjanjian kolektif.

7.3 Penyimpanan (Deposit) perjanjian kolektif untuk Pengiktirafan Mahkamah Perusahaan

Perjanjian kolektif yang telah dimeterai oleh kedua pihak yang terlibat hendaklah dikemukakan secara bersama kepada Pendaftar Mahkamah Perusahaan untuk mendapatkan pengiktirafan Mahkamah Perusahaan. Pengemukaan perjanjian kolektif berkenaan mestilah dilakukan dalam tempoh satu bulan dari tarikh perjanjian berkenaan dimeterai.

7.4 Kesan Perjanjian Kolektif Sesuatu perjanjian kolektif yang telah diiktiraf oleh Mahkamah Perusahaan akan terpakai dan mengikat kedua belah pihak tersebut.


Actions

Information



Leave a comment

You can use these tags : <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>




Bad Behavior has blocked 2 access attempts in the last 7 days.